"eh, urut aku lok," kata lelaki itu dengan suara kasar, hampir tidak dapat didengar dan difahami perkataan yang keluar dari mulutnya. tetapi wanita itu faham. walaupun penat, lelah, dan mengantuk, bangkit wanita itu dan di dalam kegelapan bilik itu, hanya disinari dengan lampu-lampu bintang yang datang melalui tingkap, dia meraba-raba mencari sebotol minyak gamat. "ahhh jumpa pun engkau," bisik wanita itu di dalam hatinya. lalu, dituang sedikit minyak gamat itu ditangannya lalu diurutnya kaki lelaki yang sedang tidur tidak nyenyak kerana sengal badan. "kuat sikit, sik berasa," kata lelaki itu lalu wanita itu menguatkan lagi usahanya dan mengurut dengan lebih bertenaga, menggunakan segala kudrat yang dia ada. bunyi dengkuran daripada sang lelaki pun kedengaran setelah beberapa minit dan wanita itu pun sedikit demi sedikit memperlahankan urutannya, dan sedikit demi sedikit mengangkat tangannya daripada kaki si lelaki lalu pabila sudah selesai, dipakaikan balik tudung botol minyak gamat dan ia diletakkan disebelah bantal dia lalu pabila sudah kepala diletakkan di atas bantal, tutuplah matanya menuju ke alam mimpi.
*
"eh ubat ku ney?" tanya si lelaki. si wanita bergegas keluar dari dapur sambil masih memakai apron dan makanan di dapur belum siap lagi. lalu dicari wanita tersebut sebuah bekas berisi segala jenis ubat yang ada untuk segala jenis penyakit yang dihidapi si lelaki. dibuka oleh wanita itu bekas tersebut dan sepaket demi sepaket ubat dikeluarkan dia dan diletakkan dia ubat-ubat tersebut di atas tangan si suami. beliau pun bingkas bangun ke dapur, menuangkan air suam ke dalam gelas lutsinar dan bergegas semula ke luar untuk memberi air kepada si lelaki. setelah memastikan segala ubat telah ditelan si lelaki, dia senyum dan bangun semula ke dapur untuk menyiapkan makanan yang sedang masak, untuk si lelaki juga.
*
"eh , barang makan dah siap." kata si wanita. satu per satu hidangan dihidangkan di atas meja makan dan si lelaki yang sedang baring di atas lantai beralaskan sekeping tilam nipis sambil memakai cermin mata membaca surat khabar pun dengan perlahannya bangun daripada tilam tersebut dan sedikit demi sedikit berdiri dan berjalan sedikit terhencot ke meja makan. si wanita menarik kerusi dan setelah itu meletakkan nasi ke dalam pinggan dan suami mengambil pinggan tersebut dan mencedok lauk-pauk yang telah disediakan wanita itu. diratah dengan sedap lauk tersebut. sementara si lelaki makan, si wanita duduk di atas kerusi di ruang tamu sambil mengeluh kepenatan. dia mengambil surat khabar dan membaca sementara si lelaki menikmati juadah. setelah habis juadah, si lelaki datang dan baring semula dan si wanita pergi ke meja makan dan mengemas hasil si lelaki.
*
"eh, baju ku ney?" si wanita sedang sibuk menerika baju anak-anak. lalu diambilnya baju si lelaki yang bergantung di tombol pintu almari dan diseterikanya baju suami dengan penuh kesabaran. si lelaki pun datang dan si wanita menyarung baju itu keatas badan lelaki itu. lalu, lelaki itu pun membutangkan baju tersebut. setelah selesai, si lelaki pun bergegas pergi meninggal si wanita dan baju-baju anak-anak yang tidak lagi habis diseterika serta baju-baju yang ada di dalam mesin basuh yang menunggu untuk dikeluarkan dan dijemur dibawah panas terik mentari.
*
"eh, ney rokok? kunci motor ada sik dirik nangga?" si wanita pun bergegas naik ke tingkat dua rumah dan mengambil rokok yang berada diatas mesin basuh. lalu bergegas ke bawah dan mencari beg dia. di dalam beg tersebut, kunci kereta. lalu diberikan kepada si lelaki kedua-dua barang tersebut dan lelaki itu pun bergegas keluar dari rumah dan si wanita duduk di atas kerusi, melihat si lelaki keluar membawa kereta berlalu pergi.
*
si isteri jarang mengata apa-apa. cuma di dalam doa setelah setiap waktu solat, ditadahkan tangan dia dan mulut terkumat-kamit meminta dengan penuh harapan daripada yang Esa agar dilindungi sang lelaki serta anak-anak. dikurniakan rezeki yang lebih, diminta agar penyakit si lelaki sembuh, dan dijauhkan si lelaki dan anak-anak daripada segala bala dan bahaya. si wanita berdoa dengan lama. segala hajat di hati diminta daripada yang Esa. aku cuma melihat dan retak hati melihat, kerana apa yang dipinta, kebanyakkannya aku tidak beri kepada si wanita. mungkin juga orang lain pun tidak dapat memberi apa yang dipinta oleh si wanita daripada yang Esa. si wanita berdoa dengan penuh tekun, penuh harapan, tidak lekang mulut terkumat-kamit meminta itu dan ini yang Esa. hati kecil ku hanya mampu berdoa juga,
"ya Allah, kau tolong berikan segala yang diminta ibuku. kabulkan lah doa ibu ku. she deserves so much happiness after all she's gone through in her life. aku meminta kepada mu ya Allah seperti mana ibuku meminta daripada Mu, lindungilah dia, murahkan rezeki dia, panjangkan umur dia, berkatilah hidup dia ya Allah."
air mata menitis daripada mataku dan tidak semana-mana wanita itu habis berdoa dan memandang ku dengan pelik. aku hanya mampu senyum dan berkata,
"mak juh goreng cucor."
"kejap gik mak datang. sedia bahan nun."
dan aku pun bergegas turun dari tingkat atas ke tingkat bawah lalu aku terserempak dengan sang lelaki yang baru habis menonton tv gamaknya.
"mak ko ney?"
"baruk abis sembahyang."
"bapak belom dicucok insulin gik tok" kata lelaki lembut. lalu dia bergegas ke atas dan aku dengar perbualan dia dengan si wanita. dalam hati ku berbisik lagi
"beruntunglah bapak dapat mak. sangat beruntung."
p.s: semua kita beruntung. cuba buka mata, dan lihat semua, dan bersyukur dengan apa yang ada.
No comments:
Post a Comment